Ah, terlalu sukar untuk memberi maaf. Bahkan lebih sukar
daripada meminta maaf. Masih terasa tusukan rasa bagaikan sebuah dendam
yang membara. Masih terngiang-ngiang segala kata. Masih terbayang semua
tingkah dan perlakuan. Wajah 'orang-orang bersalah' itu terasa begitu
menjengkelkan. Memberi maaf kepada mereka seolah-olah menggadaikan harga
diri. Ah, apakah maruah ini terlalu murah untuk di sorong tarik dengan
harga yang rendah? Dan cukup sakit, apabila mengenangkan 'musuh-musuh'
itu tersenyum dengan kemenangan.
Namun, itu hanya bisik 'hati
besarku'. Yang melantunkan suara ego dan marah. Kesat dan kesumat.
Tetapi jauh dari dalam diri...ada suara lain yang bergetar. 'Hati kecil'
yang tidak jemu-jemu mengingatkan. Suara tulus yang mendamaikan
gelombang jiwa. Bisik telus yang meredakan amukan rasa.Maafkan,
lupakan...cintai, sayangi...Berperang dengan mereka bererti berperang
dengan diri sendiri. Begitu bisik hati kecil itu selalu.
Pada sebuah persimpangan rasa, tiba-tiba hati disapa oleh sebuah firman:
"Tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan.Nescaya engkau
akan mendapati musuhmu akan menjadi seolah-olah saudara"
Wahai
diri,api jangan dilawan dengan api. Nanti bakarannya akan membakar diri
sendiri. Menyimpan dendam sama seperti membina sebuah gunung berapi di
dalam hati. Semakin besar dendam itu, maka semakin sakit hati yang
menanggungnya. Musuh-musuh mu terus ketawa, sedangkan kau sendiri
menderita meneguk bisa.
Musim-musim terus berlalu sewajarnya
mendewasakan aku. Pengalaman lampau sentiasa membuktikan bahawa
permusuhan hanya akan memberi kepuasan sementara. Apabila 'fatamorgana'
itu berlalu. Aku akan menjadi lebih dahaga daripada sebelumnya. Apakah
akan ku terjah perangkap itu berkali-kali? Oh,tidak. Mukmin tidak akan
terperosok dalam lubang yang sama dua kali. Begitu maksud sebuah sabda.
Justeru? Cukup sekali!
Biarlah musuh itu ketawa sepuas-puasnya.
Beban rasa ini biarlah aku letakkan. Tidak akan ku bawa dalam safar
kehidupan yang pendek ini. Hidup terlalu singkat untuk membenci.
Bermusuh dengan orang lain, sama seperti bermusuh dengan diri sendiri.
Memaafkan orang lain,sama seperti memaafkan diri sendiri. Kata bijak
pandai:
"Apa yang kita berikan akan kita terima kembali"
Ah,
betapa leganya sekarang...Benarlah bahawa kebaikan itu tampak sukar
untuk dilaksanakan. Pahit. Sakit. Tetapi apabila dilaksanakan akan
terasa kemanisannya. Manakala kejahatan itu tampak mudah, indah dan
manis. Namun apabila dilakukan, pasti ada kekesalan, kepahitan dan
keresahan. Ketika ini terasa benar apa yang selalu didengar di dalam
tazkirah - yang punya tabsyir dan inzar - bahawa dosa itu sesuatu yang
meresahkan. Dendam itu dosa. Memaafkan itu pahala. Memaafkan menjemput
datangnya 'syurga' yang fana, sebelum syurga yang baqa'.
Kini
hatiku tertanya-tanya lagi...siapa aku, yang begitu sukar memaafkan?
Tuan? Tuhan. Aku hanya hamba. Sedangkan DIA Sang Pencipta itu Maha
Pemaaf, Maha Pengampun, siapa aku yang kerdil ini untuk terus berdendam?
Ya ALLAH, ampunkan aku. Sengaja atau tanpa sengaja, sering atau
kekadang...aku 'terlanjur' menumpang hak-MU..
Jumat, 09 November 2012
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar